Assalamualaikum dan Salam Hormat Untuk makluman warga komuniti, siaran TV Analog akan ditamatkan secara berperingkat dan beralih kepada siaran TV Digital (ASTRO/Njoi/Unifi/MyTVmyFreeview). 19 Ogos 2019 merupakan tarikh peralihan dari siaran TV Analog ke siaran TV Digital bagi peringkat Wilayah Tengah dan Selatan (termasuk Selangor). Kepada warga komuniti, terutamanya mereka yang mempunyai ibu bapa/kenalan yang masih menggunakan siaran TV Analog di rumah masing-masing, diharap dapat membantu menyalurkan maklumat ini dan membuat persediaan bagi peralihan siaran TV Digital bermula 19 Ogos 2019 nanti. myFreeview adalah siaran TV Digital yang diwujudkan dalam usaha kerajaan Malaysia untuk memberhentikan siaran TV Analog secara berperingkat. Projek dikenali sebagai DTT (Televisyen Terestrial Digital) itu adalah inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan diselia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam menyediakan khidmat penyiaran TV dan radio terbaik kepada rakyat. Paling penting semua siaran menerusi myFreeview adalah percuma dan tiada bayaran bulanan. Menerusi myFreeview, penonton dapat menyaksikan program-program terbaik penyiar TV percuma termasuklah Radio Televisyen Malaysia (RTM), Media Prima, TV Al Hijrah dan Bernama News Channel. Bagi membolehkan anda mendapat akses kepada siaran TV digital ini sangat mudah dengan hanya memasang dekoder DVB-T2 dan aerial UHF kepada set TV sedia ada. Juga melalui Televisyen Digital Bersepadu (Integrated Digital TV atau IDTV) yang telah dilengkapi dengan dekoder serta memasang aerial UHF. Untuk sebarang info tambahan atau pertanyaan tentang myFreeview, boleh hubungi nombor tertera atau layari laman sesawang https://myfreeview.tv/
|