USAHAWAN MAKANAN

Nama :Azura Jamiran
Umur :40 tahun
Ahli :28/01/2018

Latar belakang

Puan Azura merupakan usahawan wanita yang menceburkan diri dalam bidang makanan sejuk beku iaitu kuih muih seperti donut dan karipap. Permulaan beliau menceburkan diri dalam perniagaan ini setelah berhenti kerja dari bidang jurutera elektrik pada tahun 2015. Selepas itu, beliau menghadiri kelas bakeri masakan dan setelah beliau mahir dengan bidang tersebut, beliau memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan mengambil tempahan daripada kenalan dan di sekitar kawasan perumahan beliau. Dari masa ke semasa beliau menghadiri kelas bakeri masakan serta kursus keusahawanan untuk meningkatkan kemahiran berniaga dan dapat memenuhi permintaan pelanggan.

Sebelum penggunaan ICT/ penglibatan Pusat Internet

Sebelum terlibat dengan PI, sasaran pelanggan Puan Azura hanya disekitar Telok Panglima Garang sahaja. Beliau tidak menjalankan promosi di atas talian, malah tidak pernah memuatnaik di media sosial. Beliau juga menjual kuih muih secara kecil – kecilan di tepi jalan berdekatan dengan rumahnya sahaja. Walaupun beliau mula menerima pelbagai tempahan seperti menyediakan kuih muih untuk kenduri atau majlis tetapi ianya hanya bermusim dan pendapatan tidak tetap kerana kurangnya promosi ke luar kawasan. Gambar produk dan maklumbalas pelanggan juga tidak dimuatnaik dan dikongsi kepada orang ramai.

Selepas penggunaan ICT/ penglibatan Pusat Internet

Selepas terlibat dengan aktiviti di PI, Puan Azura mempelajari pelbagai teknik atas talian seperti promosi di facebook, blog dan instagram. Puan Azura juga sering hadir ke kelas asas usahawan online yang dijalankan daripada pengajar luar seperti usahawan MDEC dan petugas. Melalui kelas eusahawan dan keusahawanan yang dihadiri, Puan Azura dapat mengenalpasti masalah perniagaan yang dihadapi dan cara-cara untuk perbaiki mutu perniagaan yang sedia ada kearah lebih baik. Puan Azura juga telah mencuba memohon tube2.0 online dan atas rezeki usahanya beliau telah mendapat geran 15 ribu. Kini produk makanan sejuk bekunya telah mempunyai jenama “CHOMELLEGACY” dan lebih kepada produk karipap dan pau. Ianya juga boleh didapati dibeberapa rangkaian azzain, jazco speedmart, kedai2 runcit serta ejen-ejen.